Header Ads

test

TINDAKAN TEGAS KE ATAS PELOMBONG HARAM NADIR BUMI

 


POKOK SENA – Kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang itu tidak melibatkan syarikat yang dibenarkan melakukan eksplorasi di tapak berkenaan.

Menteri Besar Kedah, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan hal itu dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di Masjid Nurul Ihsan, Langgar.

Beliau menegaskan kegiatan haram tidak membabitkan kerajaan negeri atau syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberi lesen eksplorasi mengkaji potensi mineral itu.

Jelasnya, kegiatan mencuri REE di luar kawasan yang diplot kepada syarikat usaha sama dengan Menteri Besar Incorporated (MBI).

"Mereka (Prospek Suria) apabila tahu berlaku kecurian, cepat-cepat telefon Setiausaha Kerajaan Negeri untuk beritahu bukan (mereka) buat, tetapi orang lain dan kami tidak terbabit," katanya.

Kerja eksplorasi ujar Sanusi belum dilakukan oleh syarikat terbabit kerana masih menunggu kelulusan prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

"Satu SOP bagi projek eksplorasi sumber nadir bumi (REE) telah dijalankan di Lenggong, Perak dan mereka telah mendapat laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek tersebut.

"Projek kedua di negara ini adalah di Kedah, dan kita masih dalam usaha membangunkan SOP yang sesuai bagi menjalankan projek ini," ujar Sanusi.

Beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat siapa yang terbabit dalam kecurian REE itu.

Tambahnya, pihak yang mencuri REE di tapak berkenaan wajar dikenakan denda tertinggi dan wang berkenaan dikembalikan kepada kerajaan negeri kerana mengakibatkan kerugian besar.

“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasat kerana mereka ada undang-undang yang mereka kuat kuasa, ambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya.

Tiada ulasan