Header Ads

test

PERLU PINDA ENAKMEN BAITULMAL KEDAH


ALOR SETAR - Mengembalikan fungsi Baitulmal supaya kembali peranannya seperti di zaman Rasulullah dan para sahabat memerlukan perubahan sistem dan pindaan enakmen, kata Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, YB Brigedier Jeneral (B) Dato' Najmi Haji Ahmad.


Beliau berkata, Baitulmal pada zaman Rasulullah dan para sahabat merupakan perbendaharaan negara tetapi Baitulmal kini hanya mempunyai pendapatan daripada aliran tertentu.


Menurutnya, konsep kedua-dua zaman telah berubah di mana sistem kewangan negara mempunyai Kementerian Kewangan manakala perbendaharaan negeri untuk negeri dengan kesemua hasil dikumpul di situ.


"Tetapi peranan Baitulmal sekarang ini hanyalah berasas kepada aliran kewangan dengan antaranya ialah menguruskan harta pusaka, Harta Al- Luqatah, harta individu tidak patuh syariah, hutang kepada pemiutang tidak dapat dikesan, hibah, wasiat, infak fi sabillillah dan sumber -sumber ditentukan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).


"Jadi untuk meletakkan taraf Baitulmal berperanan seperti zaman Rasulullah dan zaman selepas itu, barangkali perlu ada perubahan sistem yang melibatkan pindaan enakmen dan sebagainya,"katanya menjawab soalan lisan ADUN Belantik, YB Dato' Mohd Isa Shafie pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.


Beliau berkata, buat waktu ini Baitulmal Kedah memainkan peranan membantu membangunkan umat Islam dengan memberikan bantuan kepada golongan tercicir.


"Di sana kita faham ada institusi yang lain umpamanya Lembaga Zakat Negeri Kedah, bantuan kewangan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat.


"Semuanya memainkan peranan yang sama, jadi kita lihat sekaligus seolah-olah ada pertindihan.


"Walaupun begitu soal membantu umat ini ialah soal yang tidak perlu pertikai sama ada pertindihan atau tidak tetapi semuanya menjurus kepada membangun ummah itu.


"Jadi masing-masing main peranan sehingga peranan individu sendiri diiktiraf sebagai sumbangan kepada masyarakat," katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri bagaimapun akan memberikan perhatian khusus untuk memartabatkan kedudukan Baitulmal.


"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

Tiada ulasan