Header Ads

test

PERUNTUKAN RM3 JUTA BAIK PULIH SUNGAI DI BALING


ALOR SETAR – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperolehi peruntukan segera sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan 17 projek baik pulih sungai yang terjejas di Baling akibat banjir puing.

Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor semua projek itu sedang dilaksanakan dan tumpuan diberikan di kawasan Kampung Iboi.

“Bila berlaku aliran puing, pasir dan tanah telah menutupi sungai sehingga sama paras dengan jalan dan air memasuki rumah penduduk,” terang Sanusi dalam Sidang DUN Bajet Kedah hari ini.

Mengulas lanjut tentang perkembangan terkini, beliau berkata Permodalan Kedah Berhad (PKB) sedang melakukan kerja-kerja mengeluarkan pasir untuk memperdalamkan semula Sungai Iboi supaya aliran daripada Gunung Inas melalui kompatmen 8 dan Kampung Iboi dapat mengalir seperti aliran asal sungai itu.

Jelasnya keseluruhan kawasan pendalaman semula sungai Kampung Iboi adalah sepanjang 4 kilometer.

“Ada juga manusia yang suka buat cerita kata Sanusi mai buka kuari pasir di sungai tu.

“Itu projek PKB yang diberi kelulusan untuk mengeluarkan pasir kerana proses pengukuhan tebing tidak dapat dilaksanakan oleh JPS sekiranya pasir-pasir di tebing tidak dikeluarkan,” ujarnya.

Aliran asal sungai berubah akibat banjir lalu dan memasuki ke dalam geran tanah penduduk telah mengakibatkan proses memperdalam sungai tidak dapat dilakukan.

Menteri Besar berkata kerja-kerja mengukur semula sempadan tanah penduduk dan aliran asal sungai sedang dibuat untuk melancarkan proses PKB memperdalam sungai.



 

Tiada ulasan