Header Ads

test

SASTERAWAN KEDAH DIRAIKAN DALAM MALAM ANUGERAH SASTERA DARUL AMAN

 


ALOR SETAR- Negeri Kedah berjaya melahirkan ramai sasterawan terbilang yang menempa nama besar dalam dunia sastera negara, bahkan juga menjangkau ke tahap dunia.

Walaupun diiktiraf di peringkat nasional, namun menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor tidak ada anugerah untuk mengiktiraf sumbangan mereka kepada dunia sastera di negeri kelahiran sendiri.

Oleh yang demikian, buat julung kalinya diadakan Malam Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) 2022 di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk meraikan sasterawan Kedah semalam.

Tambah beliau, para sasterawan perlu lebih akrab dengan teknologi digital agar kemajuan sastera sentiasa seiring dengan perkembangan dunia semasa.

“Akrablah dengan aplikasi terkini untuk mempromosi karya tuan-tuan dan puan-puan menerusi TikTok dan sebagainya,” ujar beliau semasa merasmikan program tersebut.

Jelasnya lagi bandaraya perlu dimeriahkan dengan keindahan karya penyair-penyair di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan, misalnya di Medan Bandar Alor Setar, Dataran MPSP Sungai Petani atau di bandar-bandar lain di seluruh negeri.

Beliau turut menyeru kepada Angkatan Sasterawan Nasional Negeri Kedah (ASASi) supaya mengajak sasterawan bukan Melayu untuk aktif dalam usaha mengembangkan lagi dunia sastera.

Tegas beliau sastera dan seni hak semua dan tiada kepentingan politik.

“Saya harap agensi-agensi kerajaan yang mengawal selia isu-isu kesusasteraan, bahasa dan seni khususnya penulisan-penulisan tidak diheret ke kancah politik,” katanya.

Menteri Besar turut menyampaikan Anugerah Tertinggi Sasterawan Kedah kepada Hj Osman Ayob.

#MediaMBKedah 
#UrusSetiaPeneranganDarulAman



Tiada ulasan