Header Ads

test

TIADA ISTILAH DISKRIMINASI KAUM DI NEGERI KEDAH


ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan mendiskriminasi mana-mana kaum ataupun perbezaan agama dan politik di negeri ini.

“Inilah prinsip kami yang diberikan amanah untuk mentadbir Negeri dengan mengusahakan kehidupan yang sebaik-baiknya kepada semua orang tanpa mengira kaum ataupun latar belakang,” ujar Menteri Besar dalam Kejohanan Tarian Naga dan Tarian Singa Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 semalam.

Tambah beliau, dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, perbezaan jangan dijadikan halangan ataupun sebab untuk hidup berpecah belah.

Muhammad Sanusi menyeru rakan-rakan Tionghua, India dan Siam yang berada di negeri ini supaya menolak persepsi jahat yang memecahbelahkan kehidupan seperti Islamophobia dan sebagainya.

“Marilah kita hidup dalam suasana aman harmoni, muhibbah dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” kata beliau.

Beliau turut mengulas lanjut berkenaan tarian singa dan naga yang sangat sinonim dengan kaum Cina.

Katanya, tarian ini amat mementingkan disiplin, mendidik diri untuk cekap, mahir dan cergas dalam aspek fizikal dan mental.

Menteri Besar turut menyeru pertubuhan seperti Dragon dan Lion Dance Federation serta Pertubuhan Yee Hoe untuk mempromosi tarian ini kepada kaum-kaum lain, khususnya di negeri Kedah.


 

Tiada ulasan