2023: PELABURAN MEMEKAR DI KEDAH
ALOR SETAR- Tahun baharu 2023 menyaksikan banyak perkembangan akan berlaku di negeri Kedah terutamanya dalam aspek pelaburan.
Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, antara projek utama adalah Kedah Aerotropolis termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang kini sudah mempunyai pelabur baharu.
"Kedah Aerotropolis menempatkan Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing (SLAM) ini akan menjadi hab operasi MRO (Maintenance, Repair & Overhaul) industri penerbangan bagi seluruh rantau Asia Tenggara," katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2023 di laman facebook.
Tambah beliau, Projek Pembangunan Berintegrasi Bekalan Gas dan Loji Janakuasa serta hab Ship To Ship (STS) Transfer di Pulau Bunting, Yan dengan nilai keseluruhannya berjumlah kira-kira RM14 bilion akan dimulakan.
Projek itu menurutnya mampu melonjakkan ekonomi negeri Kedah secara drastik setelah siap kelak.
Jelas Muhammad Sanusi lagi, kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) juga sedang diperluaskan bagi memenuhi permintaan pihak industri yang semakin meningkat.
Selain itu, sebuah kawasan perindustrian baharu, Gurun Industrial Smart Park (GISP) juga bakal dibuka.
Menteri Besar berkata semua usaha itu dilakukan bagi meningkatkan ekonomi rakyat Kedah khususnya menerusi peluang pekerjaan yang akan ditawarkan.
Post a Comment