Header Ads

test

415 Penduduk Pendang Terima Geran Tanah


PENDANG- Seramai 415 penduduk daerah Pendang menerima geran hak milik tanah yang disampaikan kerajaan negeri di sini hari ini.

Penyerahan tersebut terdiri daripada 228 penerima geran tanah, 110 Lesen Pendudukan Sementara (LPS) diserahkan kepada penduduk Kampung Paya Serdang dan 77 surat hak milik sambungan.

Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, 505 penduduk Kampung Paya Serdang telah lama mengusahakan tanah bendang di kawasan tersebut, namun belum menerima geran tanah disebabkan isu projek kerajaan Persekutuan yang dikatakan akan didirikan di kawasan terbabit.

"Disebabkan ketidakpastian status projek tersebut, saya telah mengarahkan DO (pegawai daerah) dan PTG (Pejabat Tanah dan Galian) untuk memberikan LPS kepada semua 505 penduduk di Kampung Paya Serdang," ujar beliau dalam Majlis Penyerahan Surat Hak Milik, Lesen Menduduki Sementara, Hak Milik Sambungan dan Cukai Tanah bagi Daerah Pendang.
Tambahnya, beliau akan memastikan rakyat diutamakan berbanding keuntungan di pihak kerajaan semata-mata.

Jelas Menteri Besar, beliau bersama barisan EXCO kerajaan negeri setiap minggu berusaha mencari jalan terbaik untuk sejahterakan kehidupan rakyat.

Tegas Muhammad Sanusi, berdosa jika ‘main tarik tali’ dengan rakyat atas perkara yang sebenarnya mereka berhak.

"Contohnya dalam isu hak milik tanah, jika ada orang politik yang menyalahgunakan isu ini untuk meraih sokongan, berjanji ‘capati’ semasa musim pilihan raya, ‘menjawablah’ di sana nanti," ujar Sanusi.

Dalam program tersebut turut disampaikan pembayaran cukai tanah daripada Bina Darulaman Berhad (BDB), KEDA, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petronas, Ban Heng Bee Rice Mill, Majlis Daerah Pendang dan Quantum Solar Park Malaysia yang keseluruhannya berjumlah Rm1,267,199.20.

#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman


 

Tiada ulasan