KEDAH RAI ATLET CEMERLANG SUKMA
ALOR SETAR – Seramai 80 atlet dan 18 jurulatih menerima insentif atas pencapaian cemerlang mereka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuala Lumpur, tahun lalu.
Atas kejayaan tersebut, kerajaan negeri bersetuju meluluskan ganjaran kepada atlet-atlet negeri yang memenangi 16 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa.
Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi kategori individu, atlet yang berjaya meraih pingat emas mendapat RM3,000, pingat perak RM2,000 dan pingat gangsa RM1,000.
Jelasnya, bagi acara sukan kategori dua pemain, pingat emas mendapat RM2,000, pingat perak dan pingat gangsa masing-masing RM1000 dan RM500.
Bagi kategori tiga hingga enam pemain, pingat emas mendapat ganjaran RM1,500, pingat perak RM750 dan pingat gangsa RM400.
Manakala bagi kategori tujuh pemain ke atas, pingat emas RM1,000, pingat perak RM500 dan pingat gangsa RM300.
Tambah Muhammad Sanusi, jurulatih-jurulatih SUKMA turut diberi ganjaran bagi menghargai kejayaan melatih atlet meraih pingat.
“Saya sentiasa yakin dan percaya bahawa prestasi yang ditunjukkan oleh para atlet kita dalam temasya ini akan menjadi pemangkin semangat untuk Kedah mencatatkan kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.” Ujar Sanusi dalam Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sempena Sukma ke-20.
Menteri Besar berkata kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Kedah bersungguh-sungguh dalam membangunkan dan memajukan acara sukan di negeri ini.
Hal ini menurut beliau dapat dibuktikan melalui perancangan serta pembangunan program pelapis SUKMA yang telah dimulakan sejurus tamat SUKMA 2022.
Muhammad Sanusi turut mengumumkan bahawa Mesyuarat EXCO hari ini memutuskan untuk memberi ganjaran kepada atlet paralimpik yang menyumbang pingat pada kejohanan SUKMA sebanyak RM98 ribu.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua atlet dan jurulatih yang telah memenangi pingat pada kejohanan SUKMA ke 20 kali ini,” katanya kepada seluruh kontijen yang diraikan.
#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
Post a Comment