Header Ads

test

KEDAH TOP 5 PELABURAN TERTINGGI DI MALAYSIA




KUALA LUMPUR - Kedah sekali lagi kekal berada dalam carta lima negeri pelaburan tertinggi di Malaysia dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM28.7 bilion.


Mengikut data yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini, keseluruhan pelaburan yang diterima Malaysia berjumlah RM329.5 bilion bagi tahun 2023 iaitu lebih tinggi berbanding RM267.7 bilion tahun 2022.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan cemerlang itu menunjukkan bahawa Malaysia yang mempunyai dasar kukuh mampu menyokong pertumbuhan dan pelaburan serta mempunyai wawasan jelas menuju negara maju dan ekonomi inklusif. 


Menerusi kenyataan itu lagi, sektor perkhidmatan muncul sebagai pendahulu yang jelas, menguasai bahagian penting sebanyak RM168.4 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan diikuti sektor pembuatan dengan RM152.0 bilion.


Turut membanggakan lagi apabila dilaporkan bahawa Kedah berada pada kedudukan kedua pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan iaitu RM26.8 bilion diikuti negeri Selangor sebanyak RM19.3 bilion.


Jelas kenyataan media itu, lima negeri yang mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi termasuk Pulau Pinang (RM71.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM58.3 bilion), Selangor (RM55.3 bilion), Johor (RM43.1 bilion) dan Kedah (RM28.7 bilion).


Dilaporkan jumlah keseluruhan projek diluluskan sebanyak 5,101 dan berpotensi  menjana 127,332 pekerjaan baharu di negara ini.


“MITI dan MIDA akan terus kekal teguh dalam komitmen kami untuk memupuk persekitaran yang kondusif kepada pelaburan berkualiti tinggi yang bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat,” ujar Tengku Zafrul.


#UrusSetiaPeneranganDarulAman 

#TheGreaterKedah

Tiada ulasan