KEMPEN GOTONG-ROYONG TINGKAT KESEDARAN BAHAYA AEDES
KUALA MUDA - Kempen gotong-royong dapat menghidupkan budaya kebersamaan dalam masyarakat memerangi nyamuk Aedes.
Menurut Menteri Besar, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, selain memberi tumpuan kepada rumah yang berpenghuni, persekitaran rumah kosong juga perlu dibersihkan untuk mengelakkan sebarang bahaya kepada penduduk kawasan tersebut.
"Atas sebab itu, adalah menjadi harapan saya agar kempen atau program gotong-royong seperti ini mampu membangkitkan kesedaran untuk semua orang bukan sahaja di Taman Ria tetapi juga di seluruh Negeri Kedah terutamanya dapat bersama-sama menjaga kebersihan daripada sebarang gejala yang boleh menyebabkan nyamuk Aedes membiak," katanya.
Demikian ucapan beliau ketika merasmikan Program Gotong-Royong Perdana dan Mega Perangi Aedes di Padang Awam Taman Ria, di sini.
Beliau memaklumkan bahawa kes kematian akibat Aedes semakin meningkat di Negeri Kedah dan kawasan ini adalah kes terbanyak.
"Pada tahun 2024, bilangan kes sehingga 20 Julai 2024 adalah sebanyak 3,337 kes berbanding 3,249 kes untuk tempoh samatahun 2023. Peningkatan sebanyak 88 kes(2.7 peratus).
"Untuk tahun ini, sebanyak lapan kematian akibat demam denggi direkodkan berbanding tujuh kematian dalam tempoh sama tahun lalu," ujarnya.
Beliau juga menekankan kepentingan menjaga kebersihan sebagai tuntutan agama tanpa mengira latar belakang.
"Menjaga kebersihan sangatlah penting. Tidak kira agama, bangsa atau apa sahaja latar belakang, kita diajar untuk menjaga kebersihan. Orang yang pengotor bukan sahaja tidak disukai malah akan dibenci dan dijauhi oleh jiran tetangga atau siapa sahaja yang ada di sekelilingnya."
Kata Sanusi lagi, "Saya harap budaya baik seperti ini kita terus bawa walaupun sekarang kita sudah jadi orang bandar. Jangan ada nafsi-nafsi atau 'hang, hang, aku, aku' sampai sebelah rumah pun tak tahu nama, tak kenal siapa. Itu sangat tidak elok untuk kita hidup berjiran dan amat ditegah oleh agama."
Beliau juga berharap agar gotong-royong dilakukan secara berkala walaupun dalam komuniti yang lebih kecil.
"Saya harap budaya baik yang dianjurkan pada pagi ini yang dianjurkan oleh MPSBK dianjurkan juga oleh tuan-tuan di peringkat komuniti tuan-tuan dalam kumpulan yang lebih kecil, tak apa tetapi dianjurkan secara berkala. Lebih kerap lebih bagus," katanya.
Post a Comment