Header Ads

test

MASJID SEBAGAI TARIKAN PELANCONG


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan supaya masjid dijadikan sebagai tarikan pelancongan melalui pengimarahan kuliah, program, dan aktiviti yang bermanfaat.
Beliau menekankan bahawa cadangan itu selari dengan inisiatif memperkasakan institusi masjid sebagai lambang dan syiar umat Islam serta memastikan masjid menjadi pusat kecemerlangan ummah.
“Masjid boleh jadi produk pelancongan. Contohnya, masjid di Putrajaya dikunjungi oleh orang Islam dan bukan Islam atas keindahan seni binanya. Namun, di Kedah, kita tidak mempunyai seni bina yang sama hebat. Oleh itu, kita boleh jadikan masjid sebagai tarikan melalui pengimarahan kuliah, program, dan aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Program Ijtimak Imam Kariah peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Seri Mentaloon hari ini.
Beliau menegaskan bahawa masjid harus menjadi zon aman yang mempromosikan kedamaian dan toleransi dalam masyarakat selaras dengan ajaran Islam.
“Masjid seharusnya menjadi zon aman dan tenang bagi setiap Muslim tanpa sebarang gangguan atau provokasi negatif. Ini sesuai dengan ajaran Islam yang menggalakkan kedamaian dan toleransi dalam masyarakat,” katanya.
Sanusi turut menyeru umat Islam agar sentiasa peka dengan situasi semasa dan cabaran yang dihadapi pada masa kini.
“Tok imam dan pegawai masjid sering menjalankan pelbagai program siang malam untuk mengajak orang datang ke masjid dan berbuat kebaikan. Namun, tarikan kepada perkara jahat seperti pusat judi lebih kuat daripada tarikan ke masjid.
“Oleh kerana tarikan kepada kejahatan lebih kuat, maka kita perlu memastikan tarikan di masjid dan kariah kita lebih hebat daripada itu,” tambah beliau.

Tiada ulasan