Header Ads

test

PERKEMBANGAN AI BANTU SISTEM PENDIDIKAN


PERKEMBANGAN AI BANTU SISTEM PENDIDIKAN ALOR SETAR - Penggunaan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) dapat membantu para guru dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP). Menurut Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat, penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan semakin penting dan relevan terutama pada era digital ini. Jelasnya lagi, penggunaan AI telah membuka peluang yang luas untuk memperkaya pengalaman belajar dan mengajar di setiap sekolah. "AI dapat membantu dalam menyediakan bahan pembelajaran yang lebih interaktif dan sesuai dengan tahap pemahaman setiap pelajar. "Melalui analisis data pula, AI boleh mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar seterusnya memberikan cadangan yang lebih khusus dan bersesuaian," ujarnya ketika merasmikan Majlis Idul Ilmi Maktab Mahmud Alor Setar tahun 2024 di sini, hari ini. Tambah beliau, AI juga mampu meringankan beban guru dengan automasi tugas-tugas rutin seperti penandaan tugasan dan penyediaan laporan prestasi pelajar. Oleh itu, katanya guru dapat memberikan lebih banyak masa dan perhatian kepada aspek pengajaran yang lebih kreatif dan interaktif. Beliau berharap pihak sekolah dapat memastikan bahawa penggunaan AI tidak akan mengurangkan peranan guru sebagai pendidik kerana AI hanyalah alat bantu belajar, manakala peranan guru tetap kritikal dalam membimbing dan mendidik nilai-nilai murni kepada para pelajar. "Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan AI dalam sistem pendidikan datang dengan cabarannya yang tersendiri. "Salah satunya ialah kebimbangan terhadap privasi data. Data pelajar yang dikumpul oleh sistem AI mestilah dijaga dengan rapi untuk memastikan maklumat peribadi tidak disalahgunakan," tegas beliau. "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 7/18/2024, 2:40:22 PM 

Tiada ulasan