KARNIVAL ALAM SEKITAR INISIATIF KERAJAAN TINGKAT KESEDARAN RAKYAT
AYER HITAM – Karnival Alam Sekitar (KAS) adalah inisiatif Kerajaan Negeri Kedah untuk membangkitkan kesedaran rakyat dalam aspek kelestarian alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, YB Haji Mohamad Yusoff@Munir Haji Zakaria berkata, karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai kepentingan alam sekitar.
“Dengan visi untuk menjadikan Kedah negeri yang paling hijau dan terbersih di Malaysia, program ini akan menjelajah setiap parlimen di negeri Kedah secara berperingkat.
“Pelbagai aktiviti yang menjanjikan kelainan serta menarik perhatian komuniti setempat. Antaranya ialah pengunjung berpeluang menaiki belon panas untuk menikmati panorama alam,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Karnival Alam Sekitar di Bangunan Pejabat Daerah Kecil Jerlun, semalam.
Beliau memaklumkan, sebelum ini KAS telah dijalankan di Daerah Kuala Muda, Padang Terap, Kuala Kedah dan akan datang di Merbuk, Pendang dan Kubang Pasu.
Beliau mengajak orang ramai bersama-sama ke Karnival Alam Sekitar Parlimen Jerlun pada 24 hingga 27 Oktober 2024 ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Jerlun, YB Dr. Abd Ghani Ahmad, ADUN Ayer Hitam, YB Haji Azhar Ibrahim, ADUN Kota Siputeh, YB Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir serta wakil-wakil dari semua agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam penganjuran karnival ini.
“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”
#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA
Post a Comment