Header Ads

test

KEDAH LANCAR KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG



ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah telah melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67.
Kempen ini turut dimeriahkan lagi dengan Kembara Jiwa Merdeka yang menjelajah 12 daerah sekitar negeri Kedah.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata dengan adanya kembara ini, ia dapat menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
"Saya dimaklumkan bahawa pada tahun ini sambutan kempen Kibar Jalur Gemilang akan disertai dengan konvoi Kembara Jiwa Merdeka yang akan menjelajah 12 daerah di negeri Kedah. Saya pasti ia akan disambut secara meriah di setiap daerah dengan pelbagai bentuk aktiviti di setiap lokasi.
"Adalah menjadi harapan saya agar program sebegini dapat menyuntik semangat patriotisme yang semakin kurang diberikan perhatian," katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Jiwa Merdeka Sempena Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
Beliau juga menyeru semua rakyat Kedah serta rakyat Malaysia agar menjaga keharmonian dan perpaduan yang telah dibina sekian lama, yang kini semakin dihakis dengan peredaran zaman.
"Hargailah nikmat kemerdekaan dan perpaduan. Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.
"Ia perlu dibelai, dipupuk, dan dipelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan negara ini dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad dan nyawa menjadi galang-ganti," tambahnya.
Dalam perkembangan yang sama, Sanusi meluahkan rasa simpati atas nasib rakyat Palestin yang sedang ditindas.
Beliau menyeru agar rakyat tidak melupakan penderitaan yang sedang dialami oleh saudara-saudara di Palestin, walaupun sedang meraikan Hari Kebangsaan.
"Dalam kita meraikan sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Ulang Tahun Kemerdekaan tanah air kita, jangan kita lupakan nasib malang yang sedang menimpa saudara kita di Palestin yang pada masa ini sedang dibantai rejim Zionis Israel," ujarnya.
Tambah beliau, walaupun sudah lama merdeka, masih ada rasa takut untuk membela kezaliman yang berlaku pada hari ini.
“Inilah cabaran baru kepada bangsa dunia ini. Adakah kemerdekaan yang kita kecapi selama puluhan tahun itu memberi makna yang sebenar ataupun kita melaungkan di serata pelusuk bagi negara-negara yang pernah dijajah hanyalah satu acara untuk menyambut festival-festival kononnya kita telah merdeka tetapi hidup dalam ketakutan kepada kuasa-kuasa besar yang sebenarnya tiada hak sama sekali untuk membuat perampasan jiwa raga dan harta benda saudara-saudara kita di Palestin,” katanya.

Tiada ulasan