PEMBALAKAN BUKAN PUNCA PENYUSUTAN EMPANGAN
Alor Setar - Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa penyebab utama penyusutan air di empangan-empangan bukannya aktiviti pembalakan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
"Paras takungan sahaja yang surut, itu yang sebenarnya, bukan aliran air. Aliran air deras dari sungai-sungai.
"Masalah air memang kita hadapi sudah lama, saya buat tinjauan sehari sebelum pembenihan awan pada Ahad, hujan lebat dengan angin, esoknya pembenihan awan, hujan renyai-renyai.
"Itu ikhtiar, hujan hak ALLAH SWT, yang akan perintah malaikat turunkan hujan bagi rezeki atas kehendak-Nya, kita cuma ikhtiar buat OPA namun kuasa ALLAH SWT tak boleh mengatasi semua perkara," katanya.
Beliau berkata kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Jiwa Merdeka Sempena Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa terdapat kelulusan pembalakan lama yang dijalankan mengikut kuota Akta Jabatan Perhutanan tetapi aktiviti tersebut tidak dijalankan di kawasan 72,000 hektar yang sering disebut-sebut.
"Saya tahu, ada pihak yang ingin menyalahkan kerajaan mengenai pembalakan. Bukan pembalakan di 72,000 hektar, di luar 72,000 hektar ada kelulusan-kelulusan lama yang ditebang mengikut kuota Akta Jabatan Perhutanan, 4,200 hektar setahun, tetapi bukan di situ semua, tetapi di seluruh Kedah," jelasnya.
Beliau menambah bahawa kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengatasi masalah kekurangan air termasuk pelaksanaan pelan kecemasan air dan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk memantau serta menguruskan sumber air dengan lebih berkesan.
"Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan bekalan air mencukupi untuk rakyat Kedah. Kami juga menyeru kepada semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran di kalangan penduduk," ujarnya.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya berjimat cermat dalam penggunaan air dan mengambil langkah-langkah penjimatan dalam kehidupan seharian.
Post a Comment