Header Ads

test

USAHAWAN WANITA PENYUMBANG EKONOMI KEDAH


USAHAWAN WANITA PENYUMBANG EKONOMI KEDAH ALOR SETAR – Usahawan wanita di Kedah diiktiraf sebagai penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi negeri. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata peranan wanita bukan lagi sekadar di dalam rumah tangga tetapi kini sebagai pemacu utama dalam sektor ekonomi. "Dalam kehidupan budaya tradisi, peranan wanita selain melahirkan dan mendidik anak-anak, lazimnya terhad dalam lindungan ekonomi rumahtangga menguruskan perbelanjaan harian makan minum daripada wang yang dinafkahkan oleh suami," katanya. Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan sumbangan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera Negeri Kedah 2024 yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar hari ini. Penyerahan itu melibatkan seramai 1,000 usahawan wanita dari seluruh negeri. Tambahnya, sumbangan sejumlah RM500 diberikan kepada usahawan wanita yang hadir mewakili 36 kawasan DUN dalam 12 daerah. "Saya juga ingin menekankan pentingnya bimbingan dan latihan yang berterusan bagi memastikan usahawan wanita kekal relevan dan cekap melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan," ujar beliau. Sanusi berkata, perkembangan teknologi telah membawa satu dimensi baru kepada golongan wanita yang melibatkan diri dengan perniagaan atas talian. Jelasnya lagi, ramai yang berjaya berniaga dengan ratusan ribu malahan mencecah jutaan ringgit dengan menjalankan perniagaan hanya dari rumah. "Bina kekuatan ekonomi sesama kita melalui pelbagai kaedah dengan titik mulanya pada hari ini, gunakan peluang untuk kembangkan perniagaan masing-masing. "Semoga inisiatif ini menjadi pencetus kepada lebih ramai usahawan wanita yang berjaya dan sekaligus menjadikan negeri kita sebagai contoh terkehadapan kepada pembangunan ekonomi berasaskan keusahawanan wanita," jelas beliau. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #MBKedah -UPDA 10/15/2024, 8:01:14 PM 

Tiada ulasan