KERAJAAN PERSEKUTUAN PERLU SEGERA ATASI ISU PADI, BERAS
KERAJAAN PERSEKUTUAN PERLU SEGERA ATASI ISU PADI, BERAS ALOR SETAR – Kerajaan Persekutuan perlu menyegerakan pelaksanaan dan menyiapkan projek tersier serta memberikan perhatian sewajarnya kepada kawasan luar jelapang. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, YB Haji Dzowahir Haji Ab Ghani, perhatian sewajarnya diberikan dalam usaha meningkatkan produktiviti pertanian negeri. "Kerajaan negeri nekad memenuhi tanggunggungjawab dalam bidang kuasa kerajaan negeri seperti yang dilakukan pada tahun 2024 menerusi agenda Program Penanaman Padi 5 kali 2 tahun," katanya. Tambahnya, pihak Persekutuan perlu memberi perhatian yang wajar kepada kawasan luar jelapang yang turut menyumbang 8 peratus daripada 43 peratus sumbangan padi Kedah di negara ini. Jelasnya, bagi memastikan agenda keterjaminan makanan dicapai, pengoperasian sawah secara estet atau berskala besar terus dipergiatkan oleh kerajaan negeri dan agensi. "Kita mendapat kerjasama dan komitmen yang baik dari pelbagai pihak seperti Pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah di daerah Yan yang melibatkan golongan asnaf dan juga Pihak Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah di daerah Kuala Muda yang melibatkan kerjasama swasta. "Melalui Bajet 2025, sebanyak RM4.62 juta diperuntukkan bagi maksud pengairan dan saliran kawasan luar jelapang, dan sebanyak RM25 juta disediakan bagi tujuan selenggara berkala sistem saliran dan pengairan tali air, selenggara sungai dan sebagainya," jelas beliau dalam sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri. Beliau berkata, sebanyak RM2.56 juta turut diperuntukkan bagi meningkatkan produktiviti padi. "Kita perlu berusaha dan bekerjasama dalam perkara ini, ianya perlu merentasi fahaman politik, struktur pentadbiran, agensi, kementerian dan kerajaan. "RM200 juta yang pihak negeri mohon daripada pihak Persekutuan bukan bertujuan lain, tetapi bagi digunakan kembali mengoptimakan penghasilan padi, agromakanan dan demi kemaslahatan bersama," ujarnya. #sidangbajetkedah2025 #urussetiapenerangandarulaman -UPDA 11/27/2024, 3:00:38 PM
Post a Comment