ANMS NEGERI KEDAH GIAT AKTIF TANGANI ISU DENGGI
ALOR SETAR - Bagi memastikan amalan cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes lebih berkesan, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Negeri Kedah mengadakan penggunaan kod QR di tempat-tempat pembiakan denggi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, YB Mejar Mansor Zakaria berkata satu pertandingan telah dianjurkan oleh kerajaan negeri Kedah bagi menggalakkan penggunaan kod QR tersebut.
“Sebanyak 20 lokaliti telah dipilih daripada 5 daerah yang paling kerap dilanda wabak denggi dengan rekod penglibatan 1110 individu bagi pertandingan pada kali ini,” ujar beliau dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Penggunaan Kod Qr Pencegahan Denggi Dan Cabaran 500K Langkah di Wisma Darul Aman, hari ini.
Tambah beliau, pihak ANMS turut mengadakan Cabaran 500K Langkah sebagai usaha mempromosikan cara hidup sihat melalui gaya hidup aktif terutamanya dalam kalangan kakitangan agensi kerajaan di Kedah.
Menurut beliau, cabaran ini bermula pada 1 Julai sehingga 30 Ogos 2024 dan peserta perlu menyelesaikan 500 ribu langkah dalam tempoh ini.
“Sebanyak 3687 penjawat awam daripada 49 agensi telah menyertai cabaran ini dan 530 orang atau 14.4% telah berjaya mencapai sasaran 500 ribu langkah,” kata beliau.
Jelasnya, pencapaian tertinggi yang direkodkan ialah 3.1 juta langkah dengan purata langkah iaitu 50 ribu langkah sehari.
Post a Comment