Header Ads

test

KERAJAAN NEGERI SASAR PENINGKATAN KUTIPAN HASIL PENTADBIRAN TANAH NEGERI


ALOR SETAR – Kerajaan sasarkan kutipan hasil pentadbiran tanah sebanyak RM518 juta bagi tahun 2025 sekaligus menjadikan sistem penyampaian pentadbiran tanah lebih efektif.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa perkara perlu diselaraskan dan perlu diberi perhatian bersama oleh semua peringkat pentadbiran ynag bersangkutan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD).
“Ada beberapa perkara yang mungkin saya boleh tekankan untuk dilipatgandakan usaha oleh pentadbiran tanah untuk diterjemahkan dalam bentuk dasar dan hasil kepada negeri.
“Dalam erti kata lain, hasil bukanlah duit semata-mata tetapi hasil yang mempunyai nilai kebajikan kepada rakyat,” ucapnya.
Tambahnya, pentadbiran tanah dicadangkan agar membuat nilaian semula idea lot-lot tersusun, bukan untuk pelupusan tanah kediaman semata-mata tetapi merangkumi kategori kegunaan tanah lain.
“Realiti apa yang berlaku sekarang ini adalah Kedah mengiktiraf usaha awal tanah kerajaan, maka rakyat usahakan tanah selagi ada kudrat, kemudian barulah mohon,” ujarnya.
Jelasnya, namun pada masa ini, hampir tiada tanah yang tidak dimiliki dan tanah kerajaan telah kehabisan.
“Ada di kalangan rakyat yang sudah memohon tanah kerajaan selama bertahun-tahun, tetapi masih belum diluluskan.
“Ini juga hal yang perlu diperiksa dari masa ke masa, kita tidak mahu lambakan fail pelupusan di daerah menjadi sulit untuk dijelaskan kepada pemohon atau waris pemohon,” jelasnya sewaktu Majlis Amanat Pentadbiran Tanah Negeri Kedah 2025 di Dewan Seri Mentaloon.
Jelasnya lagi, kerajaan kini komited untuk menyelesaikan permohonan tanah yang sudah tertangguh lama.
Sanusi turut menegaskan, berkenaan Non-Revenue Land (NRL) yang terkait dengan tanah-tanah yang dibina dan dibangunkan tetapi tidak menepati kategori kegunaan atau syarat asal tanah.
“Ia juga terkait dengan tanah-tanah kerajaan, tanah rizab yang diduduki tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri dan juga boleh jadi tanah-tanah yang ada potensi mineral atau potensi bahan batuan tetapi belum diusaha hasil,” katanya.
Katanya lagi, pengusaha-pengusaha yang kini berada dalam rantaian ekonomi sektor pelancongan juga perlu memastikan agar kependudukan premis tidak menyalahi undang-undang yang sedang berkuatkuasa sekaligus melaksanakan tanggungjawab membayar cukai atau menyumbang hasil kepada negeri.
“Tidak adil kepada mereka di luar sana yang cuba mematuhi undang-undang namun ada segelintir kita yang culas,” tegasnya.

Tiada ulasan