Header Ads

test

300 ORANG SUKARELAWAN MASYARAKAT DAERAH LANGKAWI TERIMA SUMBANGAN

LANGKAWI - Seramai 300 orang sukarelawan masyarakat melibatkan Dun Kuah dan Dun Ayer Hangat menerima sumbangan daripada kerajaan negeri Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato' Haji Mohd Salleh Saidin berkata kerajaan negeri telah memutuskan untuk pemberian sumbangan ini kepada 150 orang penerima bagi setiap DUN.
Jelasnya, Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan ini merupakan acara tahunan kerajaan negeri yang diadakan di setiap daerah bagi meraikan dan meringankan beban para penerima sumbangan yang terdiri daripada Guru-guru Al-Quran Sukarela, Bidan-bidan Kampung, Mudim, Bomoh-bomoh Patah, Penggali Kubur dan Jurumandi Jenazah.
"Sesungguhnya pada petang ini merasa bertuah kerana dapat meraikan insan-insan hebat yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat.
"Mudah-mudahan Allah SWT akan merahmati dan memberkati kesemua kehidupan para penerima sumbangan pada petang ini."
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Program Penyampaian Sumbangan bagi Daerah Langkawi bertempat di Masjid Nurus Sa’adah, Kariah Kilim, Mukim Ayer Hangat, semalam.
Tambahnya lagi, harapan kerajaan negeri dengan penganjuran majlis itu sebagai medan permuafakatan dalam membina ukhuwah demi Kedah Sejahtera - Nikmat untuk Semua dan selaras dengan hasrat menjadikan Kedah adalah tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya menabur bakti.

Tiada ulasan