Header Ads

test

KEDAH SANTUNI ANAK YATIM, ERATKAN KASIH SAYANG

ALOR SETAR – Keprihatinan dan kepedulian terhadap golongan anak-anak yatim perlu dizahirkan agar budaya ini dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menjelang Aidilfitri yang bakal tiba, masyarakat perlu merebut peluang untuk berkongsi kegembiraan Syawal dengan meraikan anak-anak yatim.
“Islam menitikberatkan hubungan silaturahim dan kasih sayang sesama insan, lebih-lebih lagi kepada golongan anak-anak yatim.
“Ada banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyatakan tanggungjawab kita untuk menjaga anak-anak yatim, mengelak daripada mengeksploitasi atau menganiaya mereka,” katanya.
Tambahnya, melalui sumbangan, perkongsian rezeki serta perhatian yang diberikan bukan sekadar mengukir senyuman di wajah anak-anak yatim, malah turut membawa keberkatan kepada yang memberi.
“Semoga program ini menjadi satu titik permulaan untuk kita semua lebih aktif dalam menyumbang kepada masyarakat dan menyemai budaya memberi yang berterusan, selari dengan slogan negeri tempat orang kaya berbakti, tempat orang miskin berteduh,” ucapnya.
Beliau berkata demikian sewaktu program Kongsi Kegembiraan Aidilfitri bersama Anak Yatim tahun 2025 di Kompleks Star Parade, Alor Setar.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja menyemai nilai kemuliaan hati dan kebersamaan, tetapi juga membuktikan bahawa masyarakat kita kaya dengan jiwa-jiwa yang dermawan dan penuh dengan kasih sayang,” ujarnya.
Jelasnya lagi, dengan adanya program bersifat menitikberatkan kebajikan anak-anak yatim, ia dapat menggalakkan lebih ramai individu dan organisasi untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan secara berterusan, bukan hanya pada bulan Ramadan dan Syawal sahaja tetapi sepanjang tahun.
“Di Kedah inilah saya harap budaya menyantuni anak-anak yatim akan disuburkan dari semasa ke semasa, ditingkatkan dan tidak bersifat mendatar dan tidak bersifat menunggu program,” katanya.

Tiada ulasan