Header Ads

test

KUBANG PASU DAERAH ILMU DAN LOGISTIK


KUBANG PASU - Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 telah menetapkan daerah Kubang Pasu yang diberi identiti sebagai ‘Daerah Ilmu dan Logistik’.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, YB Haji Dzowahir Haji Ab Ghani berkata masyarakat Kubang Pasu boleh menjadi contoh kepada daerah lain untuk memastikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh guru Al-Quran sukarela, bidan kampung, bomoh patah, mudim, penggali kubur dan tukang mandi jenazah dapat diwarisi dan dikembangkan.
Menurutnya, usaha itu perlu dilakukan supaya ilmu tersebut tidak hilang begitu sahaja kerana kemahiran-kemahiran ini susah untuk didokumentasikan dalam bentuk penulisan dan multimedia.
"Pada zaman sekarang yang hebat dengan teknologi moden, golongan seperti guru al Quran sukarela, bidan kampung, bomoh patah, mudim, penggali kubur dan tukang mandi jenazah yang mempunyai pelbagai kemahiran tradisional di kampung-kampung kini semakin hilang ditelan zaman.
"Saya secara peribadi merasa amat terkilan sekiranya perkara ini terus berlaku kerana tanpa kemahiran ini, tiadalah penemuan ubat-ubatan dan kepakaran moden seperti yang kita dapat lihat pada hari ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa Di Daerah Kubang Pasu di Masjid Abidin, Mukim Sungai Laka, semalam.
Jelas beliau, kerajaan negeri Kedah terus menghargai golongan sukarela di peringkat akar umbi seperti guru-guru Al-Quran, bidan kampung, tok mudim, tukang mandi jenazah, tukang gali kubur dan bomoh patah di seluruh Kedah.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri tidak pernah merasa jemu untuk terus memberi pengiktirafan kepada semua yang terlibat dalam usaha mengekalkan warisan kita mengikut bidang pengkhususan masing-masing.
"Kepada tok-tok bidan, tok mudim, penggali kubur, bomoh patah dan tukang mandi jenazah, janganlah pernah jemu untuk terus memberi khidmat bakti yang tulus ikhlas yang dicurahkan untuk masyarakat setempat. Sesungguhnya budi dan jasa yang baik akan dikenang sampai bila-bila," kata beliau.

Tiada ulasan