Header Ads

test

PENDIGITALAN PENDIDIKAN AGAMA: BUKTI KESEDIAAN KERAJAAN NEGERI


ALOR SETAR – Pelaksanaan Program Pendigitalan Sekolah Agama Rakyat Negeri bukti usaha kerajaan negeri memperkasakan pendidikan agama sekaligus menunjukkan kesediaan dalam mengadaptasi teknologi baharu di dalam era kecerdasan buatan (AI).
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, digitalisasi pengajaran dan pembelajaran di sekolah agama perlu direalisasikan bagi memastikan sistem Pendidikan Sekolah Agama Negeri kekal relevan dengan perubahan masa.
“Bagi menyempurnakan maksud ini, penyaluran sumbangan berupa barangan elektrik Smart TV 50 inci dan LCD projektor kepada 33 buah sekolah agama yang terdiri daripada Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Agama dan Maktab Mahmud telah diadakan di Kulim Technology Park Corporatian (KTPC) Kulim pada 29 Oktober yang lalu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Berbuka Puasa bersama Pengetua, Mudir Sekolah Agama dan NGO Negeri Kedah tahun 2025 di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.
Tambahnya, usaha ini turut melibatkan Lembaga Zakat Negeri Kedah, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terutama PKNK yang banyak membantu institusi agama melalui Wakalah Zakat mahupun sumbangan korporat yang disalurkan secara langsung kepada pondok, sekolah, dan tahfiz di negeri Kedah.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri agar sekolah-sekolah tidak hanya cemerlang di dalam bidang agama dan bahasa Arab sahaja, bahkan cemerlang juga dalam aliran sains dan teknologi,” katanya.

Tiada ulasan