PERTAHANKAN AKIDAH, TOLAK NORMALISASI HALUS YANG MEROSAKKAN
Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa mempertahankan akidah dan keimanan umat Islam adalah keutamaan bagi mengelak ancaman yang semakin berleluasa.
“Bercakap mengenai akidah, tuan-tuan dan puan-puan semua tentunya sedia maklum bahawa Islam pada akhir zaman ini dihadap dengan 1,001 mehnah yang cukup dahsyat,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Berbuka Puasa bersama Pegawai Kerajaan Negeri (KCS), Pegawai Agama, Penghulu Mukim, Pegawai Persekutuan dan Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar
“Pelbagai isu, pelbagai cabaran bukan sahaja di peringkat dunia malah di dalam negara kita sendiri juga sudah berlaku perkara-perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap gejala keterbukaan tanpa batasan yang menyebabkan segelintir umat Islam terikut-ikut dengan amalan agama lain.
Tambahnya lagi, fenomena ini dapat dilihat apabila terdapat anak-anak Islam yang bertudung tetapi tanpa rasa segan silu mengikut ritual agama lain, malahan perbezaan berkaitan agama kini hanya dianggap perbezaan budaya.
“Inilah bahaya pluralisme agama yang sedang melanda dunia, semua orang dipengaruhi untuk terima bahawa ajaran semua agama adalah sama (membawa kebaikan dan keadilan kepada semua manusia),” tegasnya.
“Kita bukan antiperpaduan tetapi ini bukanlah perpaduan yang dibenarkan oleh Islam.
“Dalam konteks masyarakat majmuk di negeri Kedah, kita tidak pernah meminggirkan masyarakat bukan Islam, sebab itulah tema “Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua” kita jadikan dasar pentadbiran kerajaan negeri yang menunjukkan komitmen kita untuk membawa kesejahteraan kepada semua warga Kedah tanpa mengira kaum, agama atau apa jua perbezaan belakang,” jelasnya.
Post a Comment