Header Ads

test

KEDAH BANGUNKAN TAMADUN ILMU MELALUI GAGASAN CORDOBA OF KEDAH


SUNGAI PETANI – Kedah giat berusaha melahirkan generasi al-Quran yang professional dan berjiwa teknokrat melalui gagasan besar Cordoba of Kedah.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menerusi gagasan ini dalam bidang keilmuan, kerajaan negeri berhasrat melahirkan umat yang berpegang teguh kepada akidah tauhid, bermoral tinggi, berkompetensi serta mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.
“Di Kedah, kita mengimpikan tamadun ilmu yang hebat sebagaimana pada kegemilangan zaman dahulu yang merangkumi semua cabang ilmu dapat dihidupkan semula.
“Inilah pengisian yang mahu kita tinggalkan sebagai legasi untuk umat pada masa akan datang dalam usaha menempatkan Kedah sebagai negeri yang maju dan progresif dengan rakyatnya berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan mengamalkan budaya hidup yang berhemah dan bermoral tinggi,” jelasnya.
Tambahnya, pembentukan tamadun dalam zaman penuh cabaran yang boleh merosakkan, melalaikan dan menghanyutkan umat Islam memerlukan kesungguhan dan kerja keras yang tidak pernah luntur.
“Jagalah diri dengan sebaik-baiknya, jagalah martabat kesucian ayat-ayat yang ada dalam diri kalian mengatasi apa jua kalian miliki.
“Jangan cemari dengan akhlak dan tingkah laku yang tidak sepadan dengan kemuliaan al-Quran, jadikanlah ini sebagai asbab kebaikan dan teladan kepada seluruh masyarakat,” pesannya sewaktu merasmikan Majlis Konvokensyen al-Quran Akademi Darul Ilmi kali ke-3 di Sungai Petani.
Menurut beliau, penubuhan Akademi Darul Ilmi menunjukkan kesan positif ke arah usaha melahirkan insan cemerlang di dunia mahupun di akhirat.
“Jangan jadikan kejayaan ini sekadar untuk mencipta nama atau gelaran. Oleh yang demikian, jadilah seorang hafiz yang benar-benar muttaqin dengan hafalannya sehingga dapat melahirkan lebih ramai huffaz di Kedah ini pada masa hadapan.
“Mudah-mudahan negeri Kedah Darul Aman akan menjadi sebuah negeri yang subur dengan institusi-institusi tahfiz yang berkualiti dan diiktiraf di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” ucapnya.

Tiada ulasan