LIBAT URUS BERSAMA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MALAYSIA DIGITAL ECONOMY CORPORATION (MDEC)
Pertemuan ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri Kedah dan MDEC, khususnya dalam usaha memajukan bidang pendidikan digital, komunikasi dan maklumat di negeri Kedah.
Sepanjang sesi perbincangan, kedua-dua pihak telah meneliti pelbagai potensi kerjasama yang boleh digerakkan secara bersama, selaras dengan agenda ekonomi digital negeri Kedah serta aspirasi nasional di bawah inisiatif Malaysia Digital (MD).
Antara fokus utama perbincangan ialah memperkukuh inisiatif digital sedia ada di Kedah, memperluas pembangunan bakat serta program peningkatan keupayaan keusahawanan, selain menyokong usaha pendigitalan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.
Turut dibincangkan berkenaan peluang kolaborasi antara MDEC dan Pusat Digital Kedah dalam merangka pelbagai program bersifat inklusif dan memberi impak langsung kepada masyarakat.
Kunjungan ini mencerminkan iltizam bersama antara kerajaan negeri dan MDEC untuk memperkasa komuniti melalui inovasi digital, demi menjayakan pertumbuhan ekonomi yang lebih saksama dan mampan.
Diharapkan pertemuan ini akan menjadi asas kepada pelaksanaan program-program yang mampu mengangkat potensi rakyat Kedah serta mempercepatkan usaha menjadikan negeri ini sebagai hab digital serantau yang progresif dan berdaya saing.
Post a Comment