SAK 2025: HISTORIOGRAFI NUSANTARA JULUNG KALI DIADAKAN DI KEDAH
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Negeri Kedah,YB Dato’ Hajjah Halimaton Shaadiah Saad, kerajaan negeri menghargai penganjuran SAK 2025 yang menghimpunkan para cendekiawan dari dalam dan luar negara untuk bersatu atas satu misi besar iaitu menyelamatkan, merekodkan dan mengangkat semula sejarah agung nusantara.
“Lebih membanggakan, seminar ini turut dihadiri peserta dari seluruh pelusuk Malaysia dari utara Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak yang membuktikan bahawa suara sejarah ini telah bergema jauh dan dalam di hati rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Kedah merasmikan Seminar Antarabangsa Kedah: Historiografi Nusantara 2025 bertempat di Perpustakaan Digital Kedah di sini, hari ini.
Tambahnya, penganjuran SAK 2025 bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Kedah 2025, di mana kerajaan bukan sahaja memperkenalkan keindahan alam dan budaya, tetapi turut mengangkat warisan intelektual dan sejarah sebagai salah satu tarikan pelancongan dan pembentukan tamadun.
Jelas beliau lagi, kerajaan negeri Kedah terus komited dan menyokong usaha itu dan pada masa akan datang, seminar itu akan diangkat ke tahap lebih berimpak, dengan penyertaan lebih meluas dan jaringan antarabangsa yang lebih kukuh.
“Kami tidak mahu Kedah hanya dikenali kerana gunung dan laut, sawah menghijau dan pantai membiru, tetapi juga kerana kekayaan manuskrip, tinggalan sejarah, dan nilai pemikiran yang menjulang tinggi.
“Saya percaya, hasil seminar ini akan menjadi dokumen berharga yang bukan sekadar untuk disimpan dalam arkib, tetapi untuk dijadikan rujukan dan ilham generasi akan datang.
“Biarlah dari bumi Kedah ini, bangkit satu suara yang menyatukan seluruh jiwa nusantara,” katanya.
Post a Comment