SULTAN KEDAH SERU JEMAAH HAJI DOAKAN NEGARA DAN DUNIA ISLAM
Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah agar para jemaah haji yang terpilih sebagai tetamu Allah ke Baitullah dapat melaksanakan ibadah haji dengan baik dan sempurna serta mampu meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
“Beta berharap agar semua jemaah haji di tanah tanah suci nanti dapat berdoa memohon agar negeri Kedah dan Malaysia akan terus diberkati, dilimpahi kesejahteraan yang berpanjangan, serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana.
“Doakan juga supaya saudara se-Islam kita di bumi Palestin dan di negara-negara Islam lain yang masih dalam kesukaran agar diberikan kesabaran dan kekuatan untuk menghadapinya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Negeri Kedah Darul Aman di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar hari ini.
Baginda turut mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas komitmen yang diberikan kepada jemaah haji dalam usaha mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan dari tahun ke tahun.
“Beta mendoakan agar semua bakal haji dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna dan kembali semula dengan haji mabrur,” titah baginda.
Post a Comment