KEDAH SOKONG PEMBANGUNAN SUKAN DI SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan, YB Muhammad Radhi Md Din berkata, kerajaan akan pastikan lebih banyak peluang diberikan agar bakat pelajar aliran agama tidak disia-siakan.
"Saya amat berbangga kerana kejohanan KESUMAM ini berlangsung dalam suasana penuh adab dan nilai Islam aurat dijaga, masa dimanfaatkan dan ukhuwah terjalin.
"Inilah yang menjadikan sukan lebih daripada sekadar acara fizikal tetapi ia juga menjadi medan tarbiah dan pembentukan sahsiah," ujarnya ketika merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Sukan Maktab Mahmud Negeri Kedah (KESUMAM) Kali Ke-20 bertempat di Dewan Sultan Badlishah Maktab Mahmud, di sini, hari ini.
Jelasnya, objektif KESUMAM diadakan untuk melahirkan jaguh-jaguh sukan dalam kalangan pelajar Maktab Mahmud agar dapat diketengahkan ke kejohanan yang lebih tinggi.
Menurut beliau lagi, KESUMAM juga untuk memenuhi salah satu kegiatan kokurikulum pelajar serta memupuk persahabatan dalam kalangan pelajar Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah.
Tambahnya, itu membuktikan bahawa pelajar aliran agama juga mampu cemerlang dalam sukan, bukan hanya di dalam dewan kuliah atau bilik hafazan malah tampil hebat di padang dan trek sukan.
"Bersukan dengan niat yang betul boleh dijadikan sebagai ibadah.
"Apabila kita menjaga adab, niat kerana Allah, jaga aurat dan elak pembaziran masa, maka ia menjadi medan membina jati diri dan sihat rohani jasmani.
"Siapa tahu, mungkin antara anak-anak di sini bakal menjadi atlet kebangsaan, jurulatih profesional atau pemimpin sukan masa depan yang kuat tubuh, sihat akal dan mulia jiwa," kata beliau.
Post a Comment