KEDAH SASAR RM518 JUTA KUTIPAN HASIL TANAH TAHUN INI
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaksanaan sistem itu melibatkan kos pembangunan dan penyelenggaraan sebanyak RM122 juta dalam tempoh 14 tahun.
"Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam kerana Negeri Kedah adalah Negeri ke-8 yang terpilih bagi Pelaksanaan Sistem e-Tanah secara Private Finance Initiative (PFI) yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan sepanjang 14 tahun," ucapnya.
Menurutnya, Sistem e-Tanah merupakan aplikasi Kerajaan Elektronik (e-Government) bersepadu yang dibangunkan bagi memudahkan urusan pentadbiran secara digital, seiring dengan keperluan semasa era Revolusi Industri 4.0.
“Mengambil kira akan aspek keperluan ini, pada 8 Disember 2024, Kerajaan Negeri dengan rasminya telah menandatangani Perjanjian Konsesi Pelaksanaan Sistem e-Tanah,” jelasnya semasa Majlis Pelancaran Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Kedah Darul Aman di Hotel Aloft, Langkawi.
Jelasya lagi, pelaksanaan sistem tersebut dijangka mengatasi pelbagai kekangan dan isu berbangkit dalam sistem legasi yang digunakan ketika ini, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan tanah dan kutipan hasil negeri.
“Pentadbiran Tanah Negeri Kedah adalah penyumbang utama kepada 67 peratus hasil negeri. Sehingga 31 Disember 2024, Pentadbiran Tanah Negeri Kedah telah merekodkan kutipan hasil sebanyak RM438.56 juta dan sehingga 31 Mei 2025, kutipan hasil telah berjaya direkod sebanyak RM270.67 juta,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan sistem ini akan memberi manfaat dari aspek penjimatan masa dan kos, sekali gus mempertingkat mutu perkhidmatan kepada pelanggan dan pemegang taruh (stakeholders).
“Saya berharap komitmen dan kolaborasi erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan Pihak Syarikat Puncak Tegap Sdn. Bhd. dapat mengemaskini prosedur kerja supaya lebih seragam, dan memberi pandangan serta idea baharu berteraskan Kanun Tanah Negara (KTN) dan Kaedah-Kaedah Tanah Negeri Kedah serta lain-lain bagi memastikan pelaksanaan Sistem e-Tanah berjalan lancar.
"Dengan usaha gigih ini, insya-Allah Sistem e-Tanah ini akan dapat ‘Go-Live’ pada November 2026 atau selewat-lewatnya April 2027 nanti,” ucapnya.
Post a Comment