KEMAJUAN LRA PELUBANG CAPAI 74.65%
JITRA – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri Kedah, YB Dato' Mohammad Yusoff @ Munir Haji Zakaria mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, Jitra bagi meninjau perkembangan semasa projek berimpak tinggi tersebut.
Menurut beliau, kemajuan keseluruhan projek setakat 15 Julai telah mencapai 74.65% berbanding sasaran perancangan 76.18%, dengan perbezaan kelewatan kecil sekitar 1.53%.
"Secara keseluruhan, kemajuan adalah memuaskan walaupun sedikit lewat. Dari segi struktur bangunan, hampir semuanya siap kecuali bangunan ‘clear water tank’ dan rumah pam yang sedang dalam pembinaan," katanya ketika ditemui di tapak projek di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) akan menjadi fokus utama selepas ini dan peratusan kemajuan dijangka melonjak apabila peralatan dipasang.
Selain itu, kerja pemasangan paip luar juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
"Daripada jumlah keseluruhan 107 kilometer paip yang perlu dipasang, setakat ini 96 kilometer atau kira-kira 90% telah siap dan baki hanya tinggal sekitar 10 kilometer," ujarnya.
Beliau berharap agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual lanjutan masa (EOT) yang ditetapkan sehingga Disember ini demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat.
Post a Comment