Header Ads

test

MB KEDAH SERU ANAK MUDA JULANG ILMU DAN HARGAI JASA


ALOR SETAR– Kejayaan sebenar bukan sekadar dinilai melalui pencapaian individu tetapi terletak pada keupayaan membantu orang lain turut mencapai kejayaan.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa dalam tradisi keilmuan, budaya persaingan yang menjatuhkan sesama sendiri tidak seharusnya diamalkan.
“Kita berjaya bukan bila kita menggagalkan orang. Kita berjaya bila kita boleh angkat semua orang jadi berjaya. Barulah kejayaan itu dikira pencapaian orang yang berilmu,” katanya sewaktu merasmikan Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu Peringkat Negeri Kedah 2024 di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini menggerakkan gagasan Cordoba of Kedah yang menyatukan institusi pendidikan dan pusat kecemerlangan di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).
Menurut beliau, matlamat utama gagasan ini adalah untuk melahirkan lebih ramai tokoh ilmuwan yang mampu menyumbang kepada kemajuan masyarakat bukan sekadar mencipta kejayaan untuk diri sendiri.
“Hidup ini kalau kita hanya bergantung kepada upaya diri, kehebatan diri, kepandaian diri, kita tak akan ke mana-mana. Kehidupan yang hebat ini anugerah Allah, dan Allah akan beri kalau kita ada sifat-sifat murni. Allah akan bagi lebih banyak daripada apa yang kita rasa kita layak.
“Saya harap anak-anak yang berjaya pada hari ini atau yang sedang meningkat naik ataupun yang telah berjaya hidup di kota besar, jangan lupa mak ayah di kampung dan jasa guru-guru,” katanya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar anak-anak Kedah terus mencipta kejayaan lebih besar dan dapat mewarisi negeri ini dengan kebijaksanaan demi membina semula kegemilangan tamadun negeri.

Tiada ulasan