KARNIVAL USAHAWAN KEDAH TINGKATKAN KERJASAMA PEMAIN INDUSTRI DAN PENIAGA KECIL
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato' Haji Mohd Salleh Saidin, Karnival Usahawan Negeri Kedah tahun ini julung kalinya digabungkan dengan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Kedah.
"Usahawan boleh berhubung secara terus dengan penjaja dan peniaga kecil, mewujudkan peluang kolaborasi baharu, perkongsian sumber serta idea inovasi perniagaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Usahawan Kedah dan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Kedah 2025 bertempat di Perkarangan Amanjaya Mall, di sini, hari ini.
Tambahnya, karnival itu juga menjadi platform terbaik untuk kerajaan negeri menyalurkan maklumat dasar, insentif serta inisiatif sokongan dengan lebih menyeluruh kerana khalayak sasar dihimpunkan di bawah satu program.
Jelas beliau lagi, penjaja dan peniaga kecil juga dapat menimba ilmu perniagaan moden, digitalisasi dan strategi pemasaran, manakala usahawan berpeluang mempelajari teknik perniagaan akar umbi yang dekat dengan masyarakat.
Katanya, pengunjung pula bukan sahaja menikmati suasana karnival yang meriah, tetapi juga mendapat akses kepada produk tempatan berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.
"Bagi kerajaan negeri karnival ini bukan sekadar pesta jualan. Kita mahu peniaga kecil di Kedah tampil bukan sekadar sebagai 'survivor' ekonomi, tetapi sebagai pencipta nilai baharu.
"Kita harus berani meneroka bidang yang praktikal dan dekat dengan kemampuan kita," ujar beliau.

Post a Comment