PENEKANAN MORAL DAN ETIKA DALAM PENDIDIKAN ELAK MASA DEPAN TERJEJAS
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengawasan serta didikan terhadap anak-anak mesti bermula di rumah melalui pembentukan yang diberikan oleh ibu bapa.
“Semua ini mesti dimulakan dari rumah. Ibu bapa perlu awasi anak-anak supaya generasi yang kita wariskan di dunia ini dapat menguruskan dunia dengan lebih selamat untuk semua orang,” pesannya.
Jelasnya, keadaan kini menjerat para guru yang berusaha mendidik generasi muda apabila tindakan yang diambil oleh para pendidik berisiko berdepan hukuman denda dan penjara.
Tambahnya lagi, situasi ini menyebabkan masyarakat menjadi terlalu manja sehinggakan tidak boleh ditegur dan diasuh.
“Sebenarnya manusia ini ada ketika sesuai cara lembut, cara diplomasi. Ada ketika sampai diplomasi tidak lagi memberi kesan, dia kena keras sikit,” ujarnya sewaktu Majlis Penyerahan Hamper Deepavali di Wisma Darul Aman.
Menurut beliau, penekanan terhadap elemen penting dalam proses pendidikan perlu bermula daripada aspek moral dan etika, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua, tak kiralah masyarakat India, masyarakat Melayu dan masyarakat Cina untuk mengawasi pembentukan generasi yang akan datang dari rumah, bukan membiarkan kepada guru di sekolah semata-mata.
“Keadaan ini perlu diubah, sesuatu perlu dilakukan dan semua ini mesti dimulakan dari rumah,” tegasnya.

Post a Comment