PROFESION TEKNIKAL PERLU JADI AGEN PERUBAHAN
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, YB Dato' Haji Mohamad Yusuf@Munir Haji Zakaria, profesion teknikal juga diseru untuk terus berinovasi, beretika dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab.
Jelasnya, dengan adanya sifat integriti dan jati diri yang tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan unsur negatif yang merosakkan maka pembangunan itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
"Jangan ada unsur ketirisan atau penipuan untuk kepentingan diri. Apabila diberi amanah maka laksanakan dengan sebaik-baiknya.
"Tugas profesion teknikal adalah untuk menjadikan kehidupan lebih mudah, selamat dan bermakna," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) bertempat di Dewan Kompleks Pembangunan Asnaf, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, sambutan HPTN itu diadakan untuk menghargai sumbangan para professional teknikal dalam pembangunan negara, infrastruktur dan pemodenan.
Katanya, profesion teknikal bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan fizikal negara, malah menjadi pemikir dan pelaksana kepada pelbagai inisiatif strategik termasuk teknologi pintar, tenaga boleh diperbaharui, dan pembangunan lestari.
"Saya juga ingin mengajak semua untuk terus menyokong penglibatan generasi muda dalam bidang teknikal, melalui pendedahan awal, latihan kemahiran, dan penyediaan peluang kerjaya yang lebih luas.
"Kita berharap generasi muda akan memilih dan menceburi kerjaya dalam bidang teknikal sebagai profesion dan berdaya maju kerana masa depan negara amat bergantung kepada mereka yang mempunyai kemahiran teknikal dan pemikiran inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan," ujar beliau.

Post a Comment