BAJET 2026: RM500,000 UNTUK PUSAT JAGAAN DAN RUMAH TRANSIT
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata, pusat jagaan tersebut berfungsi sebagai penempatan sementara golongan gelandangan, pengemis, kanak-kanak jalanan, mangsa keganasan rumah tangga, mangsa bencana serta kes-kes sosial.
“Lokasi baru rumah transit Langkawi terletak di mukim Kedawang, Kuah di Langkawi. Buat masa ini segala persiapan bagi membuka rumah transit ini sudah masuk fasa akhir dan dijangka akan beroperasi tahun depan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurut Halimaton lagi, penubuhan rumah di Langkawi ini dianggap signifikan kerana kedudukan geografi pulau tersebut yang bergantung kepada perkhidmatan feri yang hanya beroperasi pada waktu siang.
“Dengan adanya kemudahan ini, bantuan dan perlindungan segera dapat diberikan kepada golongan rentan terutama dalam kes kecemasan di luar waktu operasi feri.
“Rumah Transit Kedah yang sebelum ini beroperasi di Taman Pulasan, Jitra dari tahun 2019 hingga 2024 telah berpindah ke lokasi baharu di Changlun selepas kontrak sewaan di lokasi asal tidak disambung oleh pemilik premis,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, Halimaton memaklumkan Bajet 2026 tidak melupakan warga emas dalam perancangan pembangunan negeri.
“Bagi tahun 2026, sebanyak RM150,000 disediakan untuk 15 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi melaksanakan aktiviti dan pengurusan.
“Kedah akan menjadi negeri tua pada tahun 2035 dengan jumlah warga emas akan mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri ini. Oleh itu, kita harus bersedia melaksanakan program-program mesra warga emas,” jelas beliau.

Post a Comment