BAJET 2026: PERKUKUH KESEJAHTERAAN RAKYAT DI AKAR UMBI
Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, Bajet 2026 ini merangkumi pelbagai agenda penting yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
“Antara peruntukan utama ialah RM13.84 juta untuk memperkasa Majlis Ketua Kampung (MKK), termasuk penambahan MKK di Kampung Baru dan elaun khas RM500 kepada Tok Batin Kampung Lubuk Legong, Baling bagi menghormati kepimpinan masyarakat Orang Asli.
“Selain itu, RM770,000 bagi pembangunan insan termasuk program The Pearl of Kedah, RM4.29 juta untuk Bantuan Beras Sejahtera, kini meliputi DUN Lunas dan Bukit Selambau serta RM9.9 juta untuk memperbaiki dan menaik taraf kemudahan melalui Peruntukan Ameniti Sosial,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ashah turut memaklumkan pelaksanaan Hari Komuniti Kampungku Sejahtera (HKKS) merupakan sebuah pendekatan akar umbi yang mencerminkan tekad Kerajaan Negeri untuk mendekatkan dasar pembangunan terus kepada rakyat luar bandar.
“Program ini bukan sekadar acara tahunan atau projek simbolik. Ia adalah manifestasi kesungguhan kerajaan dalam menangani cabaran sebenar yang dihadapi rakyat di kampung termasuk isu kekurangan infrastruktur asas, akses kepada perkhidmatan sosial, peluang ekonomi yang terhad serta pengukuhan semangat komuniti setempat,” jelas beliau lagi.

Post a Comment