Header Ads

test

SEGERAKAN PEMBANGUNAN KXP, PELUANG TARIK PELABUR ASING


ALOR SETAR – Kerajaan perlu segera membangunkan Lapangan Terbang Kargo Antarabangsa Kulim (KXP) untuk menarik pelabur asing khususnya sektor ekonomi logistik dan rantaian bekalan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah, perkara ini harus dilihat secara mendalam bagi membolehkan pelabur memilih Kedah sekaligus Malaysia sebagai lokasi utama pelaburan.
“Kita perlu bangunkan KXP supaya pelabur tidak membawa kontena ke pelabuhan lain. Ia adalah satu peluang yang perlu kita ambil dan dilihat dalam konteks lebih besar, iaitu membangunkan ia sebagai ekonomi logistik dan rantaian bekalan.
“Jika negara tidak ‘laju’ mengangkat kita (Kedah) menjadi destinasi pelaburan, akhirnya pelabur akan pergi ke Thailand sekaligus menjadikan kita (Malaysia) sebagai satu kawasan perindustrian yang ketinggalan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, sekiranya usaha mempersiapkan ekonomi logistik dan rantaian bekalan tidak dilaksanakan dengan baik, kita akan kehilangan ekonomi logistik tersebut.
“Kerajaan Pusat tiada kesungguhan untuk melihat perkara ini secara serius.
“Ini bukan soal negeri Kedah semata-mata, ia melibatkan kelangsungan hidup negara dan bangsa kita,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abdul Ghafar Saad (Bersatu – Guar Chempedak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
“Kalau hari ini kita mampu mengekalkan tarikan luar biasa kita kepada pelabur asing untuk terus menjadikan kita sebagai hub pelaburan, maksudnya bahagian terbesar ekonomi akan berada dalam negeri kita,” katanya.

Tiada ulasan