KEDAH SOKONG PEMBANGUNAN KEMAHIRAN URUTAN TERAPI SEJAHTERA CARE
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat serta Perpaduan, Dato’ Hajjah Halimaton Shaadiah Saad berkata, pelaksanaan Latihan Persijilan Kemahiran Tahap 3 Urutan Terapi (SKM3) bertepatan dengan agenda kerajaan negeri untuk memperkasakan modal insan serta meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan.
Menurutnya, ia bukan sahaja menggalakkan pembangunan sektor keusahawanan kesihatan dan terapi sebagai industri bernilai ekonomi, malah turut membuka peluang pekerjaan lebih luas khususnya kepada wanita, belia dan kumpulan B40.
“Apa yang membezakan seorang pengamal urutan terapi profesional ialah pemahaman mendalam tentang anatomi tubuh manusia, sistem otot, peredaran darah serta teknik yang mempunyai asas kajian dan parameter keselamatan.
“Dalam perkhidmatan terapi moden, pengamal bukan sekadar mengurut, tetapi menilai keadaan pelanggan, mengesan ketegangan otot, memahami titik tekanan serta memberikan rawatan yang selamat serta berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Latihan Persijilan Kemahiran Tahap 3 Urutan Terapi (SKM3) Sejahtera Care Peringkat Negeri Kedah tahun 2025 di Hotel Park Avenue, di sini, hari ini.
Halimaton Shaadiah berkata, kerajaan negeri memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang kompeten, termasuk golongan profesional yang memiliki pensijilan diiktiraf dan selari dengan piawaian peringkat nasional.
Menurut beliau, dalam fasa ekonomi kini, mereka bukan sahaja memerlukan sijil atau kelayakan, tetapi juga kemahiran sebenar yang mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat dan ekonomi negeri.
“Saya menyeru agar semua peserta komited dan teruskan belajar serta memperbaiki diri setelah tamat program ini.
“Yakinlah kejayaan bukan ditentukan oleh sehelai sijil, tetapi oleh disiplin, ketekunan dan kesungguhan untuk meningkatkan profesionalisme dari semasa ke semasa,” kata beliau.

Post a Comment