MOTOCROSS SERLAH POTENSI KEDAH, JADI TUMPUAN PELUMBA ANTARABANGSA
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian itu dibuktikan dengan penganjuran siri keempat Kejohanan Padang Terap MX Fest 2025 yang berjaya menarik penyertaan 500 pelumba motocross.
“Lebih membanggakan, terdapat penyertaan dari luar negara termasuk Jerman, Korea Selatan, Jepun, Australia, Yaman serta negara-negara ASEAN,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri akan terus menyokong program pembangunan sukan, khususnya yang memberi manfaat kepada golongan belia.
Beliau turut memaklumkan pembinaan trek rasmi kerajaan negeri bagi perlumbaan motocross akan dipertimbangkan, sekali gus membolehkan lebih ramai peserta menyertai acara ini pada masa akan datang.
“Saya yakin perlumbaan seperti ini akan terus berkembang di Kedah dan di seluruh negara. Kita juga akan membawa masuk lebih ramai pelancong, peserta dan pasukan untuk menyertai acara sukan ekstrem seumpama ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Padang Terap MX Fest tahun 2025 di Litar Motocross Sriwangsa Kampung Ulu, Padang Sanai, hari ini.
“Saya melihat sukan motocross ini akan membantu anak-anak muda kita dalam aspek pembinaan karakter, disiplin, daya tahan dan semangat setiakawan.
“Saya doakan usaha menganjurkan sukan seperti ini akan membuahkan kejayaan dan memberi kesan yang positif,” ucapnya.

Post a Comment