Header Ads

test

KEM BINA SAHSIAH LAHIRKAN REMAJA BERMINDA NEGARAWAN


ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah giat melahirkan generasi bercirikan minda negarawan dalam memacu kemajuan negeri seiring dengan aspirasi The Greater Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, satu intervensi bersasar dan berstruktur dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada pembinaan karakter remaja berintegriti dan berdaya tahan menerusi aspek spiritual, intelektual, sosial dan fizikal yang terancang.
“Kerajaan Negeri memandang serius ancaman gejala sosial yang boleh merencatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran program berkonsepkan pembangunan seimbang dinamakan Kem Bina Sahsiah telah dilaksanakan secara konsisten dalam menangani gejala sosial di Kedah.
“Kem Bina Sahsiah mempunyai keistimewaan dan nilai tersendiri yang membezakannya daripada kem-kem pembangunan remaja lain, pelaksanaannya lebih menyentuh aspek pembinaan minda remaja yang berwawasan, berpemikiran strategik serta berjiwa negarawan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Salim Mahmood (PAS – Bukit Lada) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Beliau jelaskan, lebih 3,000 remaja telah menyertai Kem Bina Sahsiah sekaligus memperoleh hasil memberangsangkan dari segi perubahan sahsiah dan disiplin diri.
“Selain itu, salah satu pendekatan strategik yang sedang dilaksanakan ialah Program Hari Komuniti Kampungku Sejahtera (HKKS).
“Program ini bukan sekadar medan pertemuan masyarakat dan agensi, malah menjadi platform penting menyemai nilai pendidikan sosial, kesedaran sivik dan advokasi mencegah gejala sosial secara langsung kepada komuniti setempat,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan agensi seperti Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri dalam melaksanakan inisiatif menangani ancaman gejala sosial.
“Usaha ini membuktikan pembangunan sahsiah merupakan nadi kekuatan ummah dan kemajuan negeri yang berterusan,” katanya.

Tiada ulasan