KEDAH AEROTROPOLIS : KEDAH PENUHI ENAM SYARAT, DUA LAGI PERLU TINDAKAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dua lagi nasihat bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan masih dalam proses pematuhan melibatkan kelulusan penubuhan aerodrom KXP dan libat urus bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi penyelarasan operasi pesawat awam dan tentera.
Menurutnya, perbincangan telah diadakan bersama Timbalan Panglima Tentera Udara dan pegawai kanan TUDM pada 19 Jun lalu, dan ia membawa kepada komitmen dan persetujuan untuk mengadakan sesi libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.
“Sesi libat urus pertama diadakan pada 19 Ogos di Alor Setar, TUDM mengemukakan beberapa isu teknikal termasuk kesesakan trafik udara di Butterworth Control Zone (TMA), gangguan pesawat TUDM ke kawasan operasi dan latihan udara dan darat, operasi di Kem Hobart serta laluan Navigation Exercise (NAVEC).
“Pihak perunding mengambil maklum dan sedang meneliti isu-isu berkenaan untuk dibincangkan semula pada sesi libat urus berikutnya,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dato’ Najmi Ahmad (PAS - Kupang) berkenaan hasil rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung projek Kedah Aerotropolis di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Sanusi memaklumkan, Kedah Aerotropolis diberikan lanjutan tempoh sah pematuhan nasihat MPFN selama lima tahun lagi sehingga 27 Oktober 2030, seperti diputuskan dalam Mesyuarat MPFN ke-48, dipengerusikan Perdana Menteri.
“Mesyuarat MPFN ke-49 pada 13 Oktober turut bersetuju agar pembangunan komponen industri dan perniagaan (Business Park) serta Sidam Logistic and Manufacturing (SLAM) Hub dapat diteruskan tanpa menunggu kelulusan penubuhan aerodrom,” katanya.
Menurutnya lagi, rundingan dengan Kerajaan Persekutuan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua aspek teknikal dipatuhi agar Kedah Aerotropolis dapat direalisasikan selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035, ke arah menjayakan The Greater Kedah.
“Kerja-kerja teknikal yang dilaksanakan oleh KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd, syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), telah menyiapkan enam laporan utama antaranya Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Trafik (TIA), Penilaian Impak Warisan (HIA), Geological Terrain Mapping (GTM) serta beberapa lagi laporan telah diselesaikan,” jelasnya.
Sanusi berkata, projek Kedah Aerotropolis akan menjadi pemangkin ekonomi wilayah Utara melalui pembangunan lapangan terbang kargo, taman industri, hub logistik dan rangkaian perhubungan baharu termasuk lebuh raya serta laluan kereta api.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan projek berimpak tinggi itu berjaya direalisasikan.
“Saya beriltizam dengan segala kudrat yang ada untuk pastikan KXP menjadi kenyataan. Ini bukan projek baharu, bukan saya yang rancang tetapi cadangan sejak 2014.
“Kita hanya meneruskan projek lama, ketika mereka jadi kerajaan, mereka yang cadangkan tetapi apabila kerajaan beralih mereka pula menentang, seolah jadi permainan.
“KXP adalah projek penting untuk Kedah dan negara, ia bukan sahaja menjadi infrastruktur penting pengangkutan dan logistik malah sebagai ‘game changer’ wilayah Utara,” ujarnya.
Berikutan itu, Sanusi mohon semua pihak menghentikan permainan politik sempit untuk menggagalkan projek tersebut.
“Mereka takut projek ini menjadi kenyataan masa kita perintah sebab ia projek mega yang penting dalam negara. Jika berjaya ia akan menghakis dakwaan parti ‘pak lebai’ tak pandai memerintah. Saya harap projek ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari semua pihak terlibat,” katanya.

Post a Comment