Header Ads

test

SEKTOR PELANCONGAN KEDAH SASAR PASARAN LUAR NEGARA

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah membina naratif baharu dalam sektor pelancongan sebagai jentera perubahan yang mampu mengubah identiti, daya saing dan hala tuju masa depan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin berkata, dasar yang dirangka menjelang tahun 2026 bukan sekadar mengejar statistik tetapi untuk mengukuhkan kedudukan Kedah sebagai destinasi unggul.
“Penambahan jumlah peruntukan daripada RM3 juta pada tahun lalu kepada RM3.2 juta tahun ini adalah bagi terus memperkukuh penjenamaan dan promosi Experience Kedah 2023, serta sejumlah RM5.89 juta untuk menaik taraf dan membaikpulih kemudahan pelancongan, penyelenggaraan bangunan warisan dan Taman Eko Rimba serta kemudahan infra Agro Pelancongan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut menyasarkan acara-acara bertaraf antarabangsa bagi melebarkan potensi negeri ke pasaran luar negara agar Kedah berada pada radar pelancong serantau dan antarabangsa.
“Dalam masa sama, kita akan memperkukuh pendidikan kelestarian di peringkat komuniti kerana pelancong moden menilai destinasi bukan sahaja pada kecantikan alamnya, tetapi pada tanggungjawab masyarakat terhadap alam itu sendiri.
“Kita akan menggerakkan program komuniti hijau, menggalakkan aktiviti kesukarelawanan pelancongan, melipatgandakan kempen kebersihan dan mengukuhkan rangkaian CSR melibatkan pelajar, NGO dan penggiat industri,” jelasnya ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Beliau turut menegaskan, penekanan pelancongan mampan perlu ditingkatkan melalui kapasiti penggiat industri seperti pengusaha homestay, seni kraftangan dan komuniti warisan agar manfaatnya dapat dikembalikan kepada rakyat.
Jelasnya lagi, ini membuktikan komitmen teguh dalam memastikan rakyat Kedah terus menikmati limpahan pembangunan sosioekonomi yang inklusif, mampan, berasaskan realiti dan berorientasikan masa depan.
“Ia merupakan cerminan kesungguhan kerajaan negeri untuk melihat industri pelancongan Kedah benar-benar berdaya saing dan berkembang maju. Kita mahu budaya pelancongan ini tumbuh bukan sebagai slogan, tetapi sebagai identiti baharu negeri,” ucapnya.

Tiada ulasan