KF35 PACU KEBANGKITAN BOLA SEPAK KEDAH
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup dan Belia & Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, pelan ini menumpukan kepada pencarian bakat, pemerkasaan jurulatih, peningkatan pengurusan pasukan, kecekapan pengadil dan penambahbaikan fasiliti sukan di seluruh negeri.
“Pelan pembangunan ini akan digabung jalin dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang dikawalselia oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Bagi menjayakan pelan tersebut, Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) akan menjalin kerjasama strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), ahli-ahli gabungan persatuan bola sepak negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak swasta bagi memastikan pelaksanaannya dapat direalisasikan dengan berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Tambah Radhi, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM4.78 juta bagi tujuan menaik taraf kemudahan dan prasarana sukan di Kedah agar mencapai piawaian semasa.
“Antara kemudahan yang terlibat ialah Stadium Darul Aman, Kompleks Sukan Sultan Abdul Halim dan Pusat Akuatik Negeri Kedah. Melalui peruntukan ini, trek larian di Stadium Darul Aman akan dibaik pulih dan dijangka siap pada Mei 2026.
“Dengan adanya trek baharu ini, Kedah dijangka kembali menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan olahraga, sekali gus mengembalikan kegemilangan negeri dalam acara olahraga,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah (JSBNK) turut menerima peruntukan sebanyak RM2 juta yang merangkumi pembinaan baharu dan kerja-kerja menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negeri.
“Langkah komprehensif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem sukan di Kedah dengan memberi tumpuan kepada pembangunan atlet, peningkatan keupayaan kemudahan sukan dan penyertaan aktif golongan belia.
“Ia diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet berpotensi tinggi yang bukan sahaja mampu mengharumkan nama negeri tetapi juga mengangkat martabat Kedah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujar Radhi lagi.

Post a Comment