Header Ads

test

TOHMAHAN 100,000 BELIA MENGANGGUR, BURUKKAN IMEJ KEDAH


ALOR SETAR - Dakwaan terdapat lebih 100,000 belia Kedah yang masih menganggur bukan sahaja tidak berasas, malah mengelirukan rakyat serta menggugat keyakinan pelabur terhadap negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO, Wong Chia Zhen berkata, dakwaan tersebut jelas tidak masuk akal berbanding jumlah tenaga buruh Kedah yang dianggarkan sekitar 1.4 juta orang.
Menurutnya, berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di Kedah menurun secara konsisten dan kini berada pada tahap 1.7 peratus setakat suku keempat 2024, antara yang terendah di Malaysia.
“Angka tersebut bersamaan hampir 7 peratus daripada keseluruhan tenaga buruh negeri ini, iaitu jauh menyimpang daripada kadar pengangguran rasmi yang hanya berada pada paras 1.7 peratus mengikut data terkini.
“Maka, tuduhan ini bukan sahaja tidak selari dengan fakta, malah mencerminkan cubaan untuk mencemarkan imej negeri tanpa asas kukuh,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurutnya, dalam konteks pertumbuhan ekonomi negeri hingga Jun 2025, Kedah telah meluluskan pelaburan sebanyak RM7.94 bilion melibatkan 34 projek baharu, yang dijangka mewujudkan hampir 3,899 peluang pekerjaan bertumpu di kawasan perindustrian seperti Padang Meha, Kulim Hi-Tech Park, Padang Serai dan Bakar Arang.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan agensi-agensi Persekutuan seperti Kementerian Sumber Manusia, PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memperkukuhkan kemahiran tenaga kerja, menganjurkan karnival pekerjaan serta memadankan pencari kerja dengan kekosongan sedia ada.
“Kita semua berkongsi aspirasi untuk melihat rakyat Kedah, khususnya anak muda, memperoleh pekerjaan yang bermaruah dan menyumbang kepada kemajuan negeri selaras dengan visi The Greater Kedah 2035,” kata beliau.

Tiada ulasan