Header Ads

test

KEDAH DESAK HENTI PINDAAN AKTA PNPV 2004 DAN UPOV 1991


ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu menghentikan proses pembentangan Pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) dan penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan (UPOV 1991) kerana dikhuatiri menjejaskan hak petani serta kedaulatan makanan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani berkata, difahamkan pindaan Akta PNPV 2004 di Parlimen itu akan dibentangkan pada sesi tahun depan.
Menurut beliau, pindaan yang diselaraskan dengan UPOV 1991 itu berisiko memberi kesan besar terhadap petani, khususnya pesawah di Kedah.
“Saya kecewa dan bimbang kerana proses pembentangan ini tidak telus. Sehingga kini, teks penuh draf pindaan tidak dikongsikan kepada kerajaan negeri, ahli Parlimen mahupun agensi berkaitan,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Dzowahir berkata, melalui peruntukan baharu itu, hak monopoli kepada pembiak baka yang kebanyakannya dimonopoli syarikat asing akan dilanjutkan selama 20 hingga 25 tahun, memaksa pesawah membeli benih berdaftar setiap musim dan menyebabkan harga benih dijangka meningkat lebih empat kali ganda.
“Peraturan UPOV 1991 juga menafikan hak petani untuk menyimpan, bertukar dan menjual benih hasil tanaman sendiri, amalan ini diamalkan oleh kira-kira 30 peratus pesawah di Kedah yang bergantung kepada benih tempatan untuk menjimatkan kos dan menjamin kualiti tanaman selain menjadi sumber pendapatan sampingan.
“Sekatan ini secara langsung mengancam sumber pendapatan petani Kedah dan melanggar hak asasi manusia, termasuk hak untuk mencari rezeki,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa UPOV 1991 menuntut pemansuhan beberapa peruntukan penting dalam Akta 634, antaranya Seksyen 12 dan Seksyen 15, yang selama ini melindungi sumber genetik tempatan serta membenarkan kerajaan menolak pendaftaran varieti atas alasan kepentingan awam atau keselamatan alam sekitar.
“Pemadaman Seksyen 12 akan membuka ruang kepada biopiracy dan melemahkan undang-undang biodiversiti negara.
“Pemansuhan Seksyen 15 pula akan membenarkan hak monopoli diberikan ke atas varieti yang berpotensi membahayakan ketenteraman awam atau alam sekitar seperti tanaman GMO, tanaman invasif dan tumbuhan yang bercanggah dengan Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.
Dzowahir berkata, Akta PNPV 2004 sedia ada masih berfungsi dengan baik dan perlu dipertahankan.
“Berdasarkan rekod, terdapat 447 permohonan perlindungan varieti tumbuhan antara 2008 hingga 2020, di mana lebih 64 peratus daripadanya dibuat oleh entiti asing.
“Ini membuktikan dakwaan bahawa undang-undang sedia ada mengehadkan inovasi atau akses kepada benih asing adalah tidak benar. Kita tidak boleh membenarkan penjajahan moden ini berlaku.
“Demi masa depan Kedah sebagai Jelapang Padi negara dan demi keterjaminan makanan rakyat Malaysia, kita wajar tolak UPOV 1991,” katanya.
Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan dan KPKM supaya menghentikan agenda meminda Akta 634 dan UPOV 1991 serta mengembalikan proses perundangan kepada landasan demokrasi yang telus, menghormati hak petani serta mempertahankan kedaulatan negara.
Sebelum ini, KPKM menjelaskan bahawa penyertaan Malaysia dalam UPOV 1991 akan membawa kesan positif kepada sektor pertanian melalui peningkatan pelaburan, penyelidikan dan penghasilan varieti baharu tumbuhan oleh pembiak baka komersial.

Tiada ulasan