MANGSA BANJIR DI KEDAH MENINGKAT KEPADA 3,049
Jumlah itu meningkat berbanding 1,503 mangsa daripada 481 keluarga yang dilaporkan petang Selasa.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah memaklumkan, dua daerah yang terjejas ialah di Kubang Pasu yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 2,247 orang daripada 783 keluarga yang dipindahkan ke 15 PPS.
“Daerah Kota Setar menyaksikan seramai 802 orang daripada 238 keluarga ditempatkan di dua PPS setakat pagi ini,” katanya, hari ini.
Daerah Kota Setar menjadi daerah terbaharu di negeri ini dilanda banjir berbanding Kubang Pasu dan Kulim sebelum ini.
Setakat ini, dua PPS dibuka di Kota Setar, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman menempatkan 612 mangsa dan SK Taman Uda seramai 190 mangsa.
“Mukim yang terlibat ialah Anak Bukit dan Alor Merah/ Pumpong.
“Kawasan terjejas meliputi Kampung Suka Menanti, Kampung Alor Gunung, Kampung Alor Senjaya, Kampung Seberang Anak Bukit, Kampung Batas Paip, Kampung Alor Merah, Seberang
Pantai Johor, Kampung Seberang Kilang Pumpong serta Kampung Pondok Chegar,” katanya.
PPS baharu yang dibuka di Kubang Pasu ialah SK Bukit Tinggi dan SK Padang Pekan.
“Sebanyak 13 PPS yang telah dibuka masih beroperasi, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Masjid Al Ikhsan Changkat Setol, SK Felda Batu 8, Dewan Kampung Tradisi, SK Binjal, Dewan Kodiang dan Dewan Felda Batu 8.
“Enam lagi PPS ialah Dewan Kampung Tradisi Paya Pahlawan, SK Malau, Dewan Padang Sera, SK Sultan Ahmad Tajuddin, Masjid Abu Bakar Malau dan Dewan Wawasan Jitra,” katanya.
Menurutnya lagi, mukim yang terjejas di daerah Kubang Pasu ialah di mukim Temin, Sungai Laka dan Binjal/Hosba.
Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Batu 10 1/2 Jalan Kodiang, Pekan Kodiang, Kampung Tengah, Kampung Malele, Kampung Pering, Belakang Pejabat Pos, Padang, Changkat Buloh, Kampung Sungai Petani, Kampung Makpap serta Kampung Kubang Betong.
Dalam pada itu, 10 sungai mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya, iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Perik di Kampung Perik, Wang Tepus dan Sungai Bata di Kampung Pahana.
Lima lagi Sungai Padang Terap di Pelubang, Sungai Tanjung Pauh di Terusan Utara Mada di Jitra, Kampung Padang Pasir, Sungai Baru di Kampung Sungai Baru dan Sungai Padang Terap di Kuala Nerang.

Post a Comment