PROGRAM PEMULIHAN DADAH BERKESAN, KADAR KEPULIHAN CECAH 95.2 PERATUS
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, kejayaan projek itu menyaksikan peningkatan kadar kepulihan ketara berbanding 67.71 peratus pada 2023, sekali gus meyakinkan kerajaan negeri untuk memperluas pelaksanaannya ke seluruh Kedah menerusi program ALteR@Komuniti 2.0.
“Pelaksanaan ke semua daerah diharap dapat memperkukuh rawatan pemulihan berasaskan komuniti dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan,” titah Baginda pada sidang akhbar selepas perasmian penutup Seminar Menangani Gejala Dadah dan Apresiasi Kepulihan AADK 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama mengiringi Baginda, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Tengku Sarafudin, Kedah berada pada kedudukan keempat tertinggi di Malaysia dalam statistik penyalahgunaan dadah yang dibentangkan pada seminar tersebut.
“Gejala dadah terus menyumbang kepada peningkatan masalah jenayah, keruntuhan institusi keluarga, kecurian, pecah rumah serta gangguan ketenteraman awam.
“Dalam kalangan pelajar dan belia, ia membawa kepada masalah disiplin, hilang tumpuan belajar, masa depan terjejas dan mengekang pembangunan modal insan negara,” titah Baginda.
Raja Muda Kedah tegaskan pendidikan awal di sekolah perlu menjadi benteng utama pencegahan dadah.
“Pendedahan mengenai bahaya dadah perlu dimasukkan dalam pendidikan awal, termasuk di peringkat sekolah rendah. Anak-anak kita perlu sedar risiko dan akibatnya sejak usia muda,” titah Baginda.
Tengku Sarafudin turut mencadangkan pihak berkaitan memasukkan elemen pendidikan anti-dadah dalam silibus pembelajaran, termasuk bahaya ketagihan lain seperti alkohol, pornografi dan judi.
“Kita harap seminar ini diterjemahkan kepada tindakan pantas dan proaktif. Program berimpak tinggi mesti dilaksanakan secara berterusan, selain setiap inisiatif perlu didokumentasikan dan dibentangkan secara berkala,” titah Baginda lagi.
Baginda turut menyeru supaya usaha membanteras dadah digerakkan secara menyeluruh melibatkan pemimpin agama, komuniti setempat, majikan, ibu bapa serta pertubuhan bukan kerajan (NGO).
Terdahulu, dalam titah perasmian penutup seminar berkenaan, Tengku Sarafudin memaklumkan, laporan Pelan Strategik The Greater Kedah menunjukkan kadar kepulihan klien yang sangat tinggi, bagi tiga suku pertama tahun ini.
“Secara purata, kadar kepulihan klien yang telah tamat rawatan dan pemulihan berada pada paras 92 peratus, melibatkan 2,148 klien di seluruh negeri ini.
“Ia membuktikan keberkesanan program bersepadu dan komitmen agensi serta sokongan komuniti dalam memastikan reintegrasi bekas klien ke dalam masyarakat membuahkan hasil,” titah Baginda.
Raja Muda Kedah turut menzahirkan penghargaan kepada AADK kerana terus memupuk harapan dan peluang baharu kepada mereka yang ingin berubah.
“Semoga kejayaan ikon pemulihan menjadi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk bangkit membina kehidupan lebih baik.
“Dengan komitmen padu semua pihak, sasaran untuk menjadikan masyarakat kita bebas daripada cengkaman dadah akan dapat direalisasikan,” titah Baginda.

Post a Comment