KEBERANGKATAN DIRAJA SEMARAKKAN KOPI WAKTU
Kopi Waktu, produk pelancongan berkonsep retro yang menggamit nostalgia di Kampung Kepala 10, Ulu Sedaka, Yan terus mencuri perhatian apabila Tuanku Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin; Tuanku Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah berkenan berangkat ke destinasi yang semakin popular itu.
Turut mengiringi Tuanku, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Haji Mohd Salleh Saidin dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Kehadiran Tuanku Raja Muda bersama keluarga bukan sahaja mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan institusi diraja terhadap pembangunan pelancongan negeri, malah menjadi suntikan semangat kepada pengusaha tempatan dan komuniti setempat.
Suasana menjadi lebih istimewa apabila Keluarga Diraja berkenan beramah mesra, bertegur sapa dan meluangkan masa bersama penduduk kampung serta pengunjung.
Keberangkatan Keluarga Diraja ini membuktikan bahawa pelancongan bukan sekadar tarikan fizikal, tetapi juga tentang jiwa, sejarah dan hubungan erat antara istana dan rakyat.




Post a Comment