LESEN JUDI: “KITA TAK AKAN BERHENTI, KITA AKAN LAWAN DI MAHKAMAH PERSEKUTUAN” - SANUSI
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri tidak akan berganjak dengan keputusan itu kerana ia merupakan hasrat rakyat yang memilih kerajaan sedia ada untuk memerintah Kedah.
“Kita tak akan berhenti di situ, kita akan lawan. Saya kecewa dengan keputusan itu, namun kita akan bawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan.
“Kita doakan supaya hujah kita dapat dikemukakan dengan cemerlang, sempurna dan dapat difahami. Inilah hasrat rakyat yang memilih kita menjadi kerajaan negeri, kenapa tidak hormati pilihan kami,” katanya pada sambutan 41 tahun dan pelancaran jentera PRU16 PAS Kawasan Sik pada Sabtu.
Sanusi berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Disember lalu yang menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah melalui keputusan majoriti 2-1, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa arahan kerajaan negeri untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Dalam keputusan itu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Faizah Jamaludin menolak rayuan difailkan Kerajaan Negeri Kedah dan Menteri Besar Kedah atas alasan tiada merit, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi menentang keputusan tersebut.
Mahkamah Rayuan antara lain memutuskan hal ehwal berkaitan perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan kerana lesen untuk ejen dan pengusaha perjudian dikeluarkan serta dikawal selia kementerian berkenaan.
Dalam pada itu, Sanusi tegaskan, kerajaan negeri bertindak berdasarkan kuasa sedia ada apabila tidak memperbaharui lesen premis perjudian, selaras dengan dasar negeri itu.
“Kita sudah jadi kerajaan, kita boleh laksanakan apa yang kita mahu berdasarkan undang-undang sedia ada. Selaku kerajaan, kita perlu gubal dasar dan polisi kita jelas, tidak lagi perbaharui lesen premis judi di Kedah.
“Namun, polisi ini dicabar 12 operator perjudian, dua daripadanya orang Kedah, selebihnya dari negeri lain yang beroperasi di sini. Kes itu dibawa oleh peguam dari DAP yang menentang kita di mahkamah,” katanya.
Tambah beliau, Kedah mencontohi pelaksanaan dasar tersebut sama seperti di Kelantan dan Terengganu yang lebih awal menghalang peluasan aktiviti perjudian.
Menurut Sanusi, keputusan mahkamah turut menimbulkan persoalan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan apabila pelaksanaan dasar berteraskan nilai Islam didapati tidak dibenarkan dalam kerangka undang-undang sedia ada.
“Tugas hakim mentafsir undang-undang dan apabila ditafsir begitu, itulah keputusannya. Jika kita ada set undang-undang lain, tentu keputusannya berbeza.
“Undang-undang kita masih ‘kafir’, saya sebut kafir sebab kalau difahami ini perintah tuhan tentang perjudian, arak, semua itu dosa besar tetapi tidak boleh dalam kerangka ini.
“Kes ini memberi pengajaran, walaupun Islam agama Persekutuan, pelaksanaannya masih terikat dan terbatas,” katanya.
Sanusi turut kesal apabila hak kerajaan negeri bawah peruntukan Seksyen 9, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dinafikan.
“Kita ada kuasa bagi lesen premis, namun dikatakan negeri tidak boleh arah pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia entiti berdiri sendiri, tak boleh terima arahan dari kerajaan negeri walaupun Seksyen 9 Akta 171 menjelaskan kuasa tersebut, namun dalam isu judi negeri dikatakan melampaui kuasa Persekutuan,” jelas beliau.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun memutuskan tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023 sebagai tidak sah dan tidak munasabah, susulan enam permohonan semakan kehakiman difailkan ejen serta syarikat pertaruhan yang mencabar keputusan itu.
Tegas Sanusi, perjuangan untuk memperbetulkan sistem perundangan dan politik negara agar selari dengan nilai Islam dan pada masa sama menjamin keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama akan terus diperjuangkan Pas dalam apa jua keadaan.
“Mahu tidak mahu, suka atau tidak, perjuangan untuk ambil alih negara ini dan menguasai sistem politik serta meminda apa perlu, serta mempersiapkan medan untuk Islam berkembang akan kita teruskan,” katanya.

Post a Comment